ADVERTISE HERE
ASAJAYA, 26 Sept:Sambutan 100 tahun Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sambir membuktikan peranan penting institusi pendidikan sekolah Cina dalam melahirkan masyarakat berilmu serta menyumbang kepada pembangunan komuniti tanpa mengira latar belakang kaum.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penubuhan sekolah itu pada 1926 mencerminkan usaha generasi terdahulu dalam memupuk kepentingan pendidikan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, sumbangan sekolah Cina terhadap pendidikan dan pembangunan komuniti tidak boleh diketepikan, malah sejarahnya membuktikan institusi berkenaan turut menyediakan pendidikan kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum.
“Saya sangat gembira apabila melihat persembahan tarian yang dipersembahkan oleh murid-murid SJK Chung Hua Sambir sebentar tadi. Walaupun dengan solekan, mereka mungkin kelihatan seperti orang Cina, namun dalam kalangan mereka terdapat orang Melayu, Bumiputera dan Cina yang membuat persembahan bersama-sama. Inilah perkara yang kita mahu lihat pada masa hadapan, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-100, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sambir pada malam Jumaat.
Abdul Karim berkata, sekolah yang ditubuhkan pada 1926 itu telah melalui perjalanan panjang dalam menyediakan pendidikan kepada masyarakat setempat, termasuk ketika kemudahan perhubungan masih terhad.
Menurutnya, sekolah berkenaan turut memainkan peranan penting dalam menyemai kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat Asajaya dan Sambir, termasuk generasi Melayu dan Iban.
Katanya, pendidikan yang diterima sejak generasi terdahulu membantu meningkatkan taraf hidup individu dan keluarga, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Abdul Karim mengumumkan sumbangan sebanyak RM120,000, bersamaan 10 peratus daripada kos RM1.2 juta yang diperlukan bagi pembinaan gelanggang bola keranjang berbumbung serta beberapa kemudahan sukan lain di sekolah berkenaan menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Beliau berkata, baki keperluan pembiayaan boleh diusahakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kerjasama pihak pengurusan sekolah dan masyarakat bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.- TVS

45 minutes ago
6








English (US) ·