Komuniti perniagaan Sarawak perlu bersedia teroka sektor ekonomi baharu

2 hours ago 7
ADVERTISE HERE

SIBU, 19 Sept: Komuniti perniagaan Sarawak perlu bersedia meneroka sektor ekonomi baharu dan beralih daripada kebergantungan kepada industri tradisional bagi memastikan negeri ini terus kompetitif dalam fasa transformasi ekonomi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata antara bidang yang mempunyai potensi untuk dikembangkan termasuk tenaga boleh diperbaharui dan hijau, semikonduktor, penjagaan kesihatan, pendigitalan serta industri berasaskan teknologi.

Menurutnya, Sarawak kini memasuki fasa penting dalam transformasi ekonominya yang memerlukan pembangunan sektor baharu, selain pengukuhan pengetahuan dan keupayaan teknikal.

“Sarawak sedang memasuki fasa penting transformasi ekonomi. Kita perlu terus bergerak melangkaui industri tradisional dan membangunkan sektor ekonomi baharu, pengetahuan serta keupayaan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) 2026 di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, peralihan kepada ekonomi baharu turut memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan komuniti perniagaan bagi menterjemahkan dasar, infrastruktur dan platform pembangunan kepada pelaburan, aktiviti perniagaan serta peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah ACCCIS melancarkan Digital Membership Database Management System, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif dalam usaha organisasi berkenaan menerima pendigitalan.

Katanya, langkah itu selari dengan hala tuju Sarawak yang semakin bergerak ke arah ekonomi lebih digital dan berasaskan teknologi.

Beliau turut menggalakkan ACCCIS meneruskan peranannya sebagai penghubung konstruktif antara kerajaan dengan komuniti perniagaan, khususnya dalam mengenal pasti isu praktikal yang memberi kesan kepada sektor perniagaan serta mengemukakan idea bagi menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.

Beliau berkata sumbangan ACCCIS dan dewan-dewan gabungannya selama ini penting dalam menyediakan platform jaringan perniagaan, dialog dasar, peningkatan kapasiti serta hubungan antara kerajaan dengan komuniti perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim turut mengiktiraf usaha ACCCIS memperluas peranannya kepada aspek kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif kesedaran, kitar semula sumber dan amalan kehidupan mampan.

Beliau berkata bengkel “How To Retain The Blue Sky” Eco-Enzyme Public Workshop pada 2024 dan “How To Retain The Blue Sky 2.0: Five Eco Enzyme Lessons” pada 2026 mencerminkan komitmen berterusan ACCCIS terhadap kelestarian alam sekitar.

Katanya, usaha berkenaan turut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang menggariskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai tiga dimensi utama pembangunan negeri.

“Perlindungan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab ekologi. Ia juga semakin berkait dengan ekonomi masa depan, termasuk industri hijau, tenaga boleh diperbaharui dan peluang baharu bernilai tinggi,” katanya.

Beliau pada masa sama menggalakkan ACCCIS terus memperkukuh kerjasama antara dewan-dewan gabungannya di seluruh Sarawak bagi membina ekonomi negeri yang lebih berdaya tahan dan kompetitif. – TVS

Read Entire Article