Kuala Cola sasar pasaran eksport Indonesia, UAE

3 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Jenama minuman tempatan, Kuala Cola menyasarkan pasaran Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai langkah memperluas jenama itu ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group Sdn. Bhd., Dato’ Suzana Zakaria berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk membawa produk Malaysia ke pasaran global.

“Kuala Cola bukan sekadar sebuah minuman. Ia membawa cerita, identiti dan keyakinan bahawa produk Malaysia mampu bergerak dari pasaran tempatan ke pentas global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Business Presentation Kuala Cola – Indonesia & United Arab Emirates yang berlangsung di MATIC Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Program bertemakan ‘From Kuala Lumpur to Global Market’ itu menjadi platform memperkenalkan Kuala Cola kepada bakal rakan niaga, pengedar serta pemain industri dari Indonesia dan UAE.

Kuala Cola kini menawarkan tiga pilihan iaitu Original Cola, Mix Cola dan Zero Sugar Cola, menerusi tagline ‘3 Rasa Berbeza, Pilihan Malaysia’.

Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam aspek pengedaran, eksport, peruncitan, hospitaliti, perkhidmatan makanan serta kerjasama strategik.

Suzana berkata, Indonesia dilihat sebagai pasaran berpotensi berikutan hubungan rapat dengan Malaysia dari segi budaya dan perdagangan.

UAE pula mempunyai kedudukan strategik sebagai antara pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa.

Neatness Group berharap program berkenaan dapat membuka peluang kepada pembentukan rangkaian rakan strategik serta penerokaan pasaran baharu bagi Kuala Cola.-TVS

Read Entire Article