Kuching City dahagakan sorakan pemain ke-12

1 day ago 12
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Selepas mengharungi jadual padat dengan sembilan aksi di gelanggang lawan berturut-turut dalam tempoh sebulan, Kuching City FC kini mendambakan sokongan padu penyokong di laman sendiri sebagai tonik tambahan untuk meneruskan cabaran musim ini.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, sokongan penyokong amat penting kerana mereka memainkan peranan sebagai ‘pemain ke-12’ yang mampu memberikan suntikan semangat kepada barisan pemain.

“Ya, sudah pasti. Mana-mana pasukan memerlukan pemain ke-12.

“Sokongan penyokong sangat penting dan ia memberikan motivasi tambahan kepada pemain terutama ketika perlawanan berlangsung sengit,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Menurut Aidil, tempoh berkenaan bukan sesuatu yang mudah apabila pasukannya terpaksa mengharungi sembilan perlawanan di gelanggang lawan secara berturut-turut dalam tempoh sebulan.

“Peminat harus tahu, kami bermain sembilan aksi di gelanggang lawan berturut-turut dalam tempoh sebulan. Tiada pasukan yang melakukan perkara seperti itu,” ujarnya.

Kuching City sebelum ini mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur City dan 5-0 menentang Kelantan Red Warrior, kedua-duanya di gelanggang lawan.

Skuad kendalian Aidil kemudian menewaskan Sabah FC 2-0 di Stadium Likas sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Jebat pada 12 September.

Namun, Kuching City turut berdepan cabaran dalam saingan antarabangsa apabila tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi AFC Champions League Two pada 17 September.

Dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kuching City pula sekadar melakar keputusan seri 0-0 menentang Kelantan City.

Rentetan itu menyaksikan Kuching City melalui tempoh padat dengan sebahagian besar aksi terbaharu mereka berlangsung di gelanggang lawan, sekali gus menjadikan sokongan penyokong di laman sendiri amat bermakna.

Menurut Aidil, sorakan penyokong mampu memberikan tenaga tambahan kepada pemain ketika berdepan tekanan perlawanan.

“Kami harap mereka terus bersama pasukan dan memberikan sokongan hingga ke penghujung musim.

“Penyokong adalah sebahagian daripada pasukan dan kehadiran mereka memberikan tenaga tambahan kepada pemain,” jelasnya.

Kuching City kini berharap ‘pemain ke-12’ mereka terus memenuhi stadium dan menjadi pembakar semangat dalam usaha pasukan kembali mencatat keputusan positif dalam aksi seterusnya.-TVS

Read Entire Article