ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept:Marathon 2026 yang dijadualkan berlangsung Ahad ini, 27 September, dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda Kuching dan kawasan sekitarnya.
Kuching Marathon Association (KMA) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat.
Menurut KMA, penganjur memantau secara berterusan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta beberapa petunjuk alam sekitar lain sejak jerebu mula berlaku awal bulan ini.
Penganjur turut mendapatkan pandangan pihak berkuasa berkaitan serta penasihat perubatan sebelum keputusan pembatalan dibuat.
“Keselamatan dan kesihatan peserta, kru, sukarelawan, pegawai, pasukan perubatan serta orang awam perlu diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, semua peserta yang telah berdaftar masih boleh mendapatkan medal penamat dan baju penamat.
Pengambilan boleh dibuat bermula esok, 26 September, di pusat membeli-belah Plaza Merdeka.
Jadual serta arahan lanjut mengenai pengambilan akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi KMA hari ini.
KMA turut memohon maaf atas kekecewaan yang timbul berikutan pembatalan itu, selain merakamkan penghargaan atas pemahaman, kesabaran dan sokongan semua pihak.
“Keselamatan dan kesejahteraan komuniti kekal menjadi keutamaan penganjur,” kata kenyataan itu lagi. -TVS

45 minutes ago
4








English (US) ·