ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Keputusan berhubung penganjuran Kuching Marathon 2026 diserahkan kepada pihak penganjur susulan keadaan jerebu yang tidak menentu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan sama ada acara larian yang dijadualkan berlangsung Ahad ini diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada pihak penganjur, agensi berkaitan serta indikator Indeks Pencemaran Udara (API) bagi menentukan tahap kesihatan dan keselamatan penganjuran acara luar.
Beliau berkata, keadaan jerebu boleh berubah dalam tempoh singkat bergantung kepada arah tiupan angin, menyebabkan keputusan mengenai penganjuran acara berkenaan sukar dipastikan lebih awal.
“…untuk perkara ini, saya sendiri pasti. Anda perlu bertanya kepada pihak penganjur sama ada mereka akan meneruskan acara ini atau tidak. Saya juga berada dalam keadaan dilema kerana keadaan boleh berubah dari hari ke hari. Pada satu hari, kita lihat semuanya baik.
“Saya masih ingat pada 16 September lalu, ketika kita menyambut Hari Malaysia di Kuching, keadaan tiba-tiba cerah sepanjang hari sehingga malam, malah kita dapat menyaksikan pertunjukan bunga api yang begitu indah. Tetapi keesokan harinya, keadaan berubah menjadi sangat teruk dan saya sendiri turut terkejut,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa hampir satu jam melawat reruai Kuching Marathon di sebuah pusat membeli-belah di Kuching, pada Jumaat.
Bagaimanapun, Pengarah Kuching Marathon 2026, Liew Tang Chieh mengesahkan acara larian tahunan yang dianjurkan sejak 2013 itu dibatalkan sepenuhnya selepas pihak penganjur mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), indikator cuaca dan corak pergerakan angin.
Liew berkata pihaknya turut mendapatkan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta pihak polis, selain mendapatkan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sebelum membuat keputusan berkenaan.
“…saya juga ingin memaklumkan semua, kami (Persatuan Maraton Kuching, KMA) mempunyai pasukan perubatan yang besar. Kuching Marathon mempunyai pasukan perubatan yang sangat besar dan kami turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Saya ada menerima surat daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching. Semua nasihat yang diberikan perlu kami ambil kira, terutama sekali dalam penganjuran Kuching Marathon.
“Jadi, disebabkan perkara itu, kami tidak mempunyai pilihan. Kami memang mahu meneruskan acara ini. Kalau dilihat, kami sudah meminta pihak polis mengeluarkan notis di jalan raya. Papan tanda, arah laluan, semuanya sudah disediakan. Tetapi keselamatan dan kesihatan peserta serta kru kami menjadi keutamaan. Seluruh pasukan kami dalam menganjurkan Kuching Marathon sentiasa meletakkan perkara itu sebagai keutamaan. Jadi, atas pertimbangan tersebut, kami terpaksa membatalkannya,” katanya.
Menurut Liew, aspek kesihatan menjadi pertimbangan utama kerana peserta Kuching Marathon dijangka berlari sehingga tujuh jam dalam keadaan berjerebu, dengan perlumbaan bermula pada jam 1 pagi dan berakhir sekitar jam 8 pagi.
Selain kategori larian penuh 42.195 kilometer, 21 kilometer dan 10 kilometer, beliau berkata keselamatan peserta Fun Run sejauh lima kilometer turut menjadi kebimbangan, khususnya membabitkan ibu bapa yang membawa anak kecil.
Dalam pada itu, Liew berkata semua peserta tetap berhak mendapatkan medal dan baju larian, dengan pengambilan bermula esok.
Butiran waktu pengambilan akan diumumkan menerusi Facebook rasmi penganjur. -TVS

1 hour ago
5








English (US) ·