ADVERTISE HERE
MIRI, 1 Okt: Kira-kira 400 peserta dijangka menyertai Lambir Eco Amazing Race (LEAR) 2026 yang akan berlangsung di Taman Negara Bukit Lambir pada 28 November ini.
Memasuki edisi ketiga, acara berkenaan menggabungkan elemen ketahanan fizikal, pengembaraan dan kesedaran alam sekitar, selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Curtin Malaysia, CLEAR 2026 dianjurkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) dengan kerjasama universiti berkenaan, dan dibuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
Pegawai Tadbir MYSED Bahagian Miri, Nuruddin Sabali berkata, perlumbaan itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah memberi peluang kepada mereka menikmati keindahan alam semula jadi serta biodiversiti Taman Negara Bukit Lambir.
“Melalui perlumbaan ini, kami menggalakkan aktiviti larian denai yang bertanggungjawab, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem yang sensitif ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Acara yang berlangsung dari jam 6 pagi hingga 11.30 pagi itu turut menampilkan pameran alam sekitar berkaitan biodiversiti taman negara berkenaan serta Pasar Komuniti yang mengetengahkan usahawan kecil tempatan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat dijadual hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
LEAR 2026 menawarkan dua kategori pertandingan bagi peserta lelaki dan wanita iaitu Kategori Terbuka Malaysia sejauh 9.6 kilometer untuk peserta berusia 18 tahun ke atas, serta Kategori Veteran Malaysia sejauh 4.5 kilometer bagi peserta berusia 45 tahun ke atas.
Juara Kategori Terbuka Malaysia bakal menerima RM3,000, manakala tempat kedua hingga kelima masing-masing menerima RM1,200, RM1,000, RM650 dan RM400. Peserta di tempat keenam hingga ke-10 pula menerima RM150 setiap seorang.
Bagi Kategori Veteran Malaysia, juara menerima RM1,500, tempat kedua RM800, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM200, manakala tempat keenam hingga ke-10 menerima RM100 setiap seorang.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM60 dan merangkumi baju acara, nombor bib rasmi, pingat penamat, beg tote serta hidangan selepas perlumbaan.
Peserta berdaftar turut layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM4,000, termasuk jam Suunto Race 2, fon telinga Pangu Run 3 dan baucar Sports Direct.
Pendaftaran dibuka sehingga 14 Oktober ini menerusi pautan rasmi Curtin Malaysia, manakala peta laluan turut boleh diperoleh secara dalam talian di http://link.curtin.edu.my/LEAR2026. – TVS

7 hours ago
10








English (US) ·