LTdL 2026: Aiman mahu buru podium, sasar sambar jersi Raja Bukit

20 hours ago 5
ADVERTISE HERE

SHAH ALAM, 26 Sept: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman menyasarkan peluang menaiki podium pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang bermula esok.

Menurut pelumba berusia 27 tahun itu, dia perlu mengurus tenaga dengan baik ketika mengharungi tiga peringkat pendakian membabitkan Gunung Jerai di Kedah, Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang.

“Tahun ini ada tiga pendakian dan saya akan cuba habiskan ketiga-tiga peringkat itu tanpa terlalu memaksa diri supaya tidak melepasi had masa.

“Saya akan simpan tenaga untuk peringkat keenam, ketujuh dan kelapan, dan cuba melakukan ‘breakaway’ sehingga ke garisan penamat kerana itu memang perancangan saya,” katanya pada sidang media LTdL 2026, di sini, hari ini.

Selain podium, Aiman turut menyasarkan kedudukan Pelumba Terbaik Asia dan klasifikasi Raja Bukit, selain mengintai peluang merebut jersi pendahulu.

Sementara itu, pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi menyifatkan LTdL edisi ke-30 ini sebagai antara perlumbaan paling mencabar, khususnya bagi pelumba pecut susulan tiga peringkat pendakian yang menanti.

Beliau turut mengintai peluang menaiki podium, terutama pada peringkat ketujuh dari Melaka ke Batu Pahat, Johor yang merupakan kampung halamannya.

“Sebelum ini saya pernah mendapat kedudukan sebagai pelumba terbaik Asia, tetapi saya masih belum pernah menaiki podium.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin, melihat peluang yang ada dan berharap rakan sepasukan dapat membantu membawa saya ke hadapan sebelum saya cuba melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran,” katanya.

LTdL 2026 akan bermula esok membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia. – TVS

Read Entire Article