LTdL 2026: Aiman Rosli cemerlang sambar Jersi Asia pada peringkat pertama

10 hours ago 9
ADVERTISE HERE

KAMPAR, 27 Sept: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli mencuri tumpuan pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 apabila meraih jersi putih sebagai pelumba Asia terbaik.

Aiman, 27, menamatkan saingan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam, Selangor ke Kampar, Perak dengan catatan masa 4 jam 6 minit 49 saat.

Menurutnya, kejayaan mengutip bonus masa selepas dua kali melintasi zon pecut perantaraan, membantu dirinya untuk merebut jersi pelumba Asia terbaik.

“Alhamdulillah, saya cuba buat yang terbaik hari ini. Saya dapat bonus masa daripada dua pecut perantaraan dan saya rasa ia membantu untuk mendapatkan jersi pelumba Asia terbaik.

“Cuaca pada awal perlumbaan nampak seperti hendak hujan, tetapi semakin hampir ke garisan penamat, cuaca semakin panas.

“Badan saya memang letih dan perlukan pemulihan secukupnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan, hari ini.

Pada peringkat itu, Aiman berjaya melakukan ‘break away’ dan mengungguli pecut perantaraan kedua di Kilometer 48.2 di Kuala Selangor.

Bagaimanapun, beliau mengakui memilih untuk tidak mengejar bonus masa pada pecut perantaraan ketiga bagi mengelakkan keletihan berlebihan.

“Saya rasa memang agak sukar untuk mendapatkan jersi Raja Pecut kerana pelumba lain lebih laju di garisan penamat.

“Pecut ketiga juga agak jauh dan saya bimbang tidak sempat pulih untuk perlumbaan esok,” katanya.

Mengulas Peringkat 2 esok yang dijangka lebih mencabar dengan laluan mendaki, Aiman mengakui ia bukan laluan yang menjadi kekuatannya dan akan memberi tumpuan untuk membantu rakan sepasukan.

“Esok rasanya bukan perlumbaan saya. Saya akan nikmati kayuhan, cuba bertahan dan fokus untuk membantu rakan sepasukan,” katanya. – TVS

Read Entire Article