ADVERTISE HERE
SHAH ALAM, 26 Sept: Peluang pelumba pecut sensasi XDS Astana Team Matteo Malucelli untuk beraksi pada edisi ke-30 Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 masih 50-50 selepas mengalami kecederaan tangan akibat terjatuh ketika sesi latihan hari ini.
Pelumba Itali yang menjadi antara calon utama untuk memenangi peringkat perlumbaan tahun ini terjatuh ketika mengambil selekoh awal pagi tadi sebelum dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pengarah Sukan XDS Astana Team Peter Kennaugh mengesahkan kejadian itu dan berkata pemeriksaan kesihatan awal mendapati tiada tulang yang patah, namun pemeriksaan lanjut oleh pakar diperlukan sebelum membuat keputusan muktamad.
“Kemas kini terkini ialah dia terjatuh. Dia seperti terbabas ketika mengambil selekoh semasa latihan tetapi tangannya mengalami kecederaan yang agak teruk. Dia menahan dirinya dengan tangan ketika terjatuh. Jadi, dia pergi ke hospital dan menjalani pemeriksaan sinar-X, dan mereka berkata tiada tulang yang patah tetapi mereka mahu dia berjumpa pakar.
“Saya tidak tahu sama ada mereka boleh mengesan keretakan kecil atau apa-apa lagi tetapi itu sahaja maklumat yang saya ada,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran rasmi X-LAB Bikes di sini hari ini.
Kennaugh berkata Malucelli kini dalam perjalanan pulang ke hotel pasukan, namun penyertaannya pada peringkat pembukaan esok masih belum dapat dipastikan.
“Jadi, saya berharap dia boleh bermula esok. Saya perlu berjumpa dengannya selepas mesyuarat ini, kemudian kami akan membuat keputusan.
“Sehingga saya berjumpa dengannya dan bercakap dengan doktor pasukan, itu sahaja yang boleh saya beritahu. Buat masa ini, saya tidak tahu… 50-50, ya,” katanya.
Sekiranya Malucelli disahkan tidak cergas untuk berlumba, Kennaugh berkata pasukan itu akan mengaktifkan pelan alternatif, dengan kemungkinan menampilkan Gleb Syritsa atau Aaron Gate untuk mengetuai cabaran pecut pasukan itu pada peringkat laluan mendatar.
“Pelan B, kami perlu berbincang dengan pelumba malam ini. Sudah tentu Aaron Gate juga sangat pantas dan kami semua tahu tentang Gleb Syritsa… kemungkinan besar kami akan memilih Gleb sebagai Pelan B.
“… tetapi saya tidak mahu bercakap terlalu awal kerana saya berharap Malucelli berada dalam keadaan baik dan boleh bermula esok,” katanya.
Edisi ke-30 LTdL 2026 dijadualkan bermula esok dari Shah Alam ke Kampar, melibatkan lapan peringkat perlumbaan merentasi Semenanjung sebelum melabuhkan tirai pada 4 Okt. -TVS

22 hours ago
3







English (US) ·