ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Usaha memastikan alat muzik tradisional lutong terus dikenali dan dimainkan generasi muda perlu dilaksanakan menerusi pendekatan yang menggabungkan warisan tradisi dengan inovasi semasa.
Pengasas dan penggiat seni Bungan Creative, Elizabeth Bungan Peter berkata, evolusi lutong perlu memberi ruang kepada alat muzik berkenaan untuk terus digunakan tanpa menghilangkan identiti dan asal-usulnya.
“Bila kita sebut evolusi, bukan bermaksud kita nak ubah lutong sampai kita sendiri tidak kenal apa itu lutong. Kita nak cari ruang untuk lutong terus digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Alat Muzik Lutong di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan itu boleh diteroka menerusi aspek pembuatan, penalaan, permainan dan pengajaran Lutong, termasuk mengintegrasikannya dalam muzik semasa.
Katanya, kelangsungan warisan berkenaan bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pembuat Lutong, pemuzik, guru, penggiat seni serta generasi muda yang berminat mempelajarinya.
Elizabeth berkata, Bengkel Asas Lutong pada 2025 berdepan kekurangan alat muzik apabila hanya sebuah lutong disediakan untuk digunakan oleh 30 pelajar.
“MSS lah yang membantu dalam usaha pembuatan semula lutong. Kali ini, tahun 2026, MSS sekali lagi membantu dalam evolusi lutong iaitu membawa lutong lebih praktikal ke pentas bersama alat muzik yang lain,” ujarnya.
Katanya, Majlis Seni Sarawak (MSS) turut membantu menjayakan Ekspo Alat Muzik Lutong menerusi penyediaan alat muzik untuk dipamerkan kepada masyarakat.
Menurut Elizabeth, penganjuran ekspo di ruang awam penting bagi mendekatkan seni dan budaya kepada masyarakat, khususnya golongan yang sebelum ini tidak pernah mengenali lutong.
Beliau berharap ekspo itu menjadi titik permulaan kepada lebih ramai generasi muda untuk mengenali, mempelajari dan memainkan lutong, sekali gus memastikan warisan berkenaan terus diwarisi generasi akan datang.-TVS

2 hours ago
7








English (US) ·