ADVERTISE HERE
SIBU, 19 Sept: Penubuhan Majlis Kanak-kanak Sibu menjadi platform awal untuk membentuk kepimpinan generasi muda serta memberi pendedahan kepada mereka mengenai sistem pentadbiran kerajaan tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, berkata penglibatan kanak-kanak dalam majlis berkenaan bukan sekadar memberi ruang menyuarakan pandangan, malah membantu mereka memahami fungsi, peranan dan kuasa kerajaan tempatan.
Menurutnya, pengalaman itu penting bagi membina kemahiran kepimpinan serta memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai proses pentadbiran dan kaedah menangani isu dalam komuniti.
“Kita mahu memastikan apabila Sarawak bergerak ke hadapan dalam pembinaan negara, kita mempunyai pengalaman penggantian dan barisan pelapis.
“Dahulu ramai antara kita tidak mempunyai peluang seperti ini. Hari ini, anak-anak kita sekurang-kurangnya mendapat peluang untuk memahami majlis, apa yang dilakukan oleh majlis dan apakah kuasa majlis,” katanya ketika berucap pada Upacara Angkat Sumpah Majlis Kanak-kanak Sibu Kohort Kedua di Dewan Persidangan Perpustakaan Awam Sibu, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata ahli Majlis Kanak-kanak Sibu turut berperanan membawa suara kanak-kanak lain untuk diketengahkan kepada pihak berkuasa tempatan, selain mempelajari bagaimana sesuatu masalah dapat diselesaikan melalui saluran yang betul.
Katanya, pihak berkuasa tempatan merupakan lapisan kerajaan yang paling hampir dengan masyarakat kerana banyak perkhidmatan harian rakyat berkait rapat dengannya.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata Sarawak mahu pembangunan kerajaan tempatan mencapai penanda aras antarabangsa, termasuk dalam usaha mewujudkan persekitaran mesra kanak-kanak.
Beliau berkata tujuh daripada 11 Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI) di Malaysia berada di Sarawak, manakala inisiatif berkenaan turut diperluaskan ke kawasan lain dengan Mukah dan Dalat bakal melaksanakan Inisiatif Komuniti Mesra Kanak-kanak.
“Kita mungkin belum sampai ke tahap itu, tetapi kita sedang belajar bagaimana untuk mencapainya,” katanya.
Kohort kedua Majlis Kanak-kanak Sibu terdiri daripada 22 ahli yang mengangkat sumpah dalam upacara berkenaan dan akan menjalankan peranan selama dua tahun di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Dr Sim turut menggesa ahli majlis memanfaatkan peluang berkenaan untuk membina kepimpinan serta meneruskan hubungan antara kohort melalui jaringan alumni bagi perkongsian pengalaman dan bimbingan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan kepentingan melindungi hak kanak-kanak merangkumi aspek pendidikan, perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan, termasuk daripada ancaman dalam talian serta masalah pemakanan seperti berat badan berlebihan dan obesiti.
Beliau berkata pendekatan terhadap hak dan kebajikan kanak-kanak perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, mendapat pendidikan serta akses kepada kemudahan yang sesuai. -TVS

2 hours ago
3








English (US) ·