ADVERTISE HERE
NEW YORK, 26 Sept: Malaysia menegaskan bahawa pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik perlu dianggap sebagai keperluan nasional serta tanggungjawab bersama di peringkat global, berasaskan pengajaran daripada pandemik COVID-19.
“COVID-19 mendedahkan satu hakikat asas. Tiada negara boleh menjamin kesihatan rakyatnya secara bersendirian,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik di sini pada Jumaat.
Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Beliau berkata Malaysia telah menterjemahkan pengajaran itu kepada tindakan.
“Menerusi Pelan Tindakan Nasional Malaysia bagi Keselamatan Kesihatan 2025–2030, kita sedang memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan, pengawasan bersepadu dan amaran awal, keupayaan makmal, penyelarasan kecemasan serta tenaga kerja kesihatan yang bersedia,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia turut melaksanakan pendekatan “One Health” bagi mengurangkan ancaman mikrobiologi dalam makanan, air dan alam sekitar.
“Kami percaya kesihatan awam di seluruh negara hanya dapat dipastikan menerusi pendekatan segenap masyarakat,” katanya.
Beliau berkata kesiapsiagaan yang lebih kukuh masih belum lengkap tanpa kesaksamaan.
Malaysia, katanya, mengalu-alukan Perjanjian Pandemik WHO dan menggesa lampiran mengenai Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat (PABS) yang kukuh dan saksama, dengan perkongsian patogen dan perkongsian manfaat diletakkan pada kedudukan yang setara sambil menghormati perundangan nasional dan kedaulatan negara.
Mohamad berkata kesaksamaan juga perlu disokong oleh keupayaan untuk menjalankan penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran produk kesihatan penting.
Menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara 2021–2030, Malaysia sedang memperkukuh keupayaan berkenaan.
Melihat ke hadapan, Mohamad berkata cita-cita bersama Malaysia perlu disokong dengan sumber yang mampan.
“Pembiayaan mestilah mencukupi, boleh dijangka dan responsif terhadap risiko kesihatan awam, kesaksamaan serta keperluan negara.
“Mekanisme antarabangsa perlu melengkapi pelaburan domestik, memperkukuh keupayaan nasional dan memperteguh liputan kesihatan sejagat,” kata beliau.
Mohamad berkata ukuran sebenar kejayaan mesyuarat itu bukan terletak pada komitmen yang diumumkan, tetapi sama ada ancaman seterusnya dapat dikesan lebih awal, dibendung dengan lebih pantas dan ditangani dengan akses yang lebih adil kepada alat kesihatan yang menyelamatkan nyawa.
“Marilah kita menjadikan solidariti bukan sekadar tindak balas sementara ketika krisis, tetapi komitmen berterusan yang diperkukuh sebelum kecemasan seterusnya, demi setiap negara dan setiap generasi,” katanya.
Mesyuarat itu diadakan di ibu pejabat PBB dengan tema “Fostering a Multilateral and Intergenerational Approach to Prevent, Prepare for and Respond to Pandemics and Public Health Emergencies, Through the Principles of Equity and Solidarity”. -TVS

23 hours ago
1







English (US) ·