Malaysia hantar pesawat, tiga helikopter bantu padam kebakaran di Kalimantan

59 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

JAKARTA, 19 Sept: Malaysia akan menghantar sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu mendapat keizinan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam pertemuan mereka di kediaman Presiden Indonesia di Hambalang, Bogor, semalam.

“Presiden Prabowo menyambut baik dan memberikan keizinan terhadap tawaran Malaysia untuk sama-sama menangani masalah kebakaran di Kalimantan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelaras bantuan berkenaan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja bertujuan membantu operasi pemadaman dalam jangka pendek, malah turut merangkumi perancangan jangka panjang bagi menangani masalah kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Kalimantan dan beberapa wilayah lain di Indonesia.

“Sebagai negara jiran terdekat Indonesia, Malaysia akan terus memberikan kerjasama, khususnya bagi mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Sarawak,” katanya.

Read Entire Article