ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan tahniah kepada Ummi Umairah Saiful Anuar atas kejayaan cemerlang memenangi pingat emas dalam pertandingan ‘World Championships of Performing Arts (WCOPA)’ ke-27.
Beliau berkata pertandingan yang berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat itu menyaksikan bakat luar biasa Ummi Umairah di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama sekolah dan negara.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan usaha keras beliau tetapi juga sokongan padu keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata kejayaan pelajar Tingkatan Satu Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) itu diharapkan mencetus inspirasi kepada semua pelajar untuk terus mengejar impian dan berusaha gigih dalam bidang yang diminati.
“Ummi Umairah telah membuktikan bahawa dengan usaha dan komitmen yang tinggi, kita mampu mencapai kejayaan gemilang di peringkat dunia,” katanya.
Ummi Umairah yang juga anak saudara penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila memenangi pingat emas pada pertandingan itu, pagi semalam.
Ummi Umairah,13, yang lebih mesra disapa Umai, memenangi pingat itu menerusi kategori 2024 Junior Championship Vocalist dengan menewaskan empat peserta lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Pada pentas final itu, Umai mempertaruhkan lagu A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin.
Terdahulu, pada saringan pertama, Umai bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berentap di peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B yang seterusnya membawa remaja ini ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun.