ADVERTISE HERE
BETONG, 25 Sept: Klinik tinju yang dianjurkan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Betong menjadi antara platform untuk memperkenalkan sukan tinju kepada masyarakat, sekali gus mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan berkenaan.
Penganjuran klinik itu merupakan antara usaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) untuk memperluaskan kumpulan bakat atlet tinju negeri khususnya dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Betong dan kawasan sekitarnya mempunyai potensi dalam melahirkan atlet tinju, selain mempunyai ikon sukan berkenaan yang boleh menjadi inspirasi kepada masyarakat.
“Kita ingin melihat lebih ramai atlet berkecimpung dalam sukan ini supaya kita mempunyai kumpulan bakat lebih besar.
“Dalam tinju terdapat pelbagai kategori seperti featherweight, bantamweight dan sebagainya. Kita memerlukan atlet untuk mengisi kategori-kategori ini, barulah kita mempunyai peluang yang lebih luas untuk meraih kemenangan,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperluaskan kumpulan bakat itu juga penting dalam meningkatkan prestasi Sarawak pada temasya sukan akan datang, mengambil kira persaingan yang semakin meningkat daripada negeri-negeri lain.
Katanya, klinik tinju sempena SKS Betong turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk melihat dengan lebih dekat serta bertemu ikon-ikon sukan tinju Sarawak.
Antara nama yang dijangka terlibat ialah bekas petinju negara Sapok Biki serta beberapa ikon sukan tinju tempatan. – TVS

4 hours ago
7








English (US) ·