ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak dan Sabah perlu mengekalkan nisbah satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen sekiranya jumlah kerusi Dewan Rakyat ditambah pada masa akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, prinsip itu selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk konsep perwakilan berkadar yang mengambil kira kepentingan Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap prinsip berkenaan merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan kepentingan kedua-dua negeri terus dilindungi.
“Kita mahu berpegang kepada nisbah satu pertiga. Kalau jumlah kerusi ditambah, Sarawak dan Sabah juga perlu ditambah mengikut nisbah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sarawak Semiconductor Flagship Programme di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, prinsip itu turut berkait dengan kedudukan asal Sarawak, Sabah dan Singapura yang membentuk satu pertiga perwakilan ketika pembentukan Malaysia sebelum Singapura keluar daripada Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ditetapkan pada 222, pengiraan kerusi bagi Sarawak dan Sabah perlu dibuat berdasarkan nisbah satu pertiga.
“Kalau jumlahnya 100, satu pertiga ialah kira-kira 33. Kalau 200, satu pertiga ialah 66. Sebab itu kita mahu nisbah satu pertiga untuk melindungi kepentingan kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan bahawa soal pemetaan dan penentuan kawasan pilihan raya baharu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).-TVS

44 minutes ago
5







English (US) ·