ADVERTISE HERE
DARO, 27 Sept: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Daro memperkukuh pengetahuan anggotanya terhadap pencapaian kerajaan Sarawak sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Ketua Cawangan PBB Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, setiap anggota perlu memahami secara menyeluruh perkembangan dan kejayaan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ia merangkumi pelbagai bidang termasuk pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi, pendidikan serta kebajikan rakyat yang menjadi antara fokus utama pentadbiran negeri.
“Pengetahuan yang kukuh mengenai pencapaian kerajaan amat penting supaya anggota parti dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, selain menjelaskan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sarawak.
“Dalam masa sama, anggota perlu terus memelihara perpaduan serta memperkukuh kerjasama dalaman agar PBB kekal sebagai salah satu tonggak penting dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada Program Santai dan Jom Pamuk PBB Cawangan Daro di sini, hari ini.
Dr Safiee berkata, kekuatan organisasi parti juga perlu diperkasakan secara berterusan dengan penglibatan aktif semua peringkat, termasuk Pergerakan Wanita yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti parti di akar umbi.
Katanya, program berkenaan bukan sekadar menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama anggota, malah dimanfaatkan bagi memperkukuh semangat kebersamaan serta memastikan jentera parti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kesepaduan dan komitmen anggota amat penting bagi memastikan PBB Cawangan Daro dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta terus menyokong kepimpinan negeri dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak.
“Program ini juga menjadi sebahagian daripada kesinambungan aktiviti parti susulan pelaksanaan konvensyen PBB di peringkat zon, termasuk persiapan menghadapi Konvensyen PBB Zon Selatan,” katanya. -TVS

9 hours ago
8








English (US) ·