Pegawai JBSN Limbang wakili Malaysia ke TAB 2026

13 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

LIMBANG, 26 Sept: Pembantu Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Mohd Hafizul Helmi Md Zain, 31, terpilih mewakili Malaysia pada Program Pengangkutan Trans Asean (TAB) 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 27 Oktober ini.

Beliau merupakan antara dua pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dari Sarawak yang terpilih menyertai program berprestij itu, bersama Mohd Arif Zulhilmi Alet dari JBSN Kuching.

Mohd Hafizul Helmi berkata, seramai 25 belia daripada lebih 3,400 permohonan dipilih untuk mewakili delegasi Malaysia ke program berkenaan.

Katanya, pemilihan itu bukan sekadar peluang mengembara, malah menjadi platform untuk mempromosikan Sarawak, membina jaringan global serta membawa pulang pengalaman yang mampu memberi impak kepada komuniti.

“Saya berasa terkejut namun teruja apabila dipilih mewakili negara, saya bersedia mengalas tanggungjawab ini demi mengharumkan nama negara di persada Asean,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, ketika ini beliau sedang melakukan persediaan rapi, termasuk meningkatkan kefahaman, ketahanan diri dan pengetahuan mengenai budaya sebelum memulakan program itu.

Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Rynnille Elsther Peter menyifatkan pemilihan pegawainya menyertai program berkenaan sebagai peluang mempromosikan Sarawak dan Malaysia ke peringkat global.

“Selaku pegawai dibawah selia saya, Mohd Hafizul Helmi dilihat mampu mengalas amanah sebagai duta kecil mempromosikan Limbang, Sarawak dan Malaysia sekali gus membawa pulang pengalaman yang mampu memberi impak kepada pembangunan komuniti belia.

“Terima kasih kepada pengurusan tertinggi JBSN di atas pemilihan pegawai di JBSN Bahagian Limbang,”katanya.

TAB 2026 merupakan program pertukaran belia antarabangsa anjuran JBSN di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Peserta akan menjalani program di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur serta di Laos dan Vietnam. -TVS

Read Entire Article