ADVERTISE HERE
BETONG, 26 Sept: Kerajaan Sarawak merancang menubuhkan sebuah autoriti khusus bagi menyelaras dan mengurus pembangunan kawasan tasik serta sungai semula jadi yang mempunyai potensi di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu merupakan antara perancangan yang mahu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, autoriti berkenaan akan memantau pembangunan kawasan tasik termasuk di Batang Ai, Mulu, Baleh dan Bakun, selain kawasan sungai semula jadi yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Kita akan membangunkan satu autoriti yang boleh membangunkan semua kawasan tasik.
“Insya-Allah, kita akan membangunkan satu autoriti yang akan memantau semua tasik kita, termasuk sungai semula jadi yang mempunyai potensi,” katanya.
Abang Johari berkata, pendekatan itu akan membolehkan pembangunan kawasan tasik dilaksanakan secara lebih khusus dan tersusun termasuk mengambil kira aspek kemudahan serta keselamatan pengunjung.
Beliau turut melihat Batang Ai sebagai antara kawasan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan menerusi pendekatan tersebut.
“Batang Ai memang satu kawasan yang boleh dibangunkan. Insya-Allah kita akan bangunkan Lake Authority yang akan mengurus semua pembangunan di kawasan tasik.
“Pembangunan kita akan lebih khusus dan ini akan memudahkan pelancong datang. Keduanya ialah keselamatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Bahagian Betong turut mempunyai pelbagai produk yang berpotensi diperkasakan sebagai tarikan pelancongan.
Antaranya termasuk tarikan berasaskan sejarah dan budaya seperti Kubu Rentap, selain penganjuran festival serta produk komuniti tempatan.
Jelasnya, keunikan tersebut boleh digabungkan dalam bentuk pakej pelancongan yang dibangunkan sendiri oleh masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pengunjung, malah membuka peluang perniagaan baharu kepada penduduk tempatan.
“Orang tempatan boleh membuat pakej. Pakej mungkin dalam bentuk tempatan, dan ia akan menimbulkan satu perniagaan baharu untuk masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata, pembangunan produk pelancongan secara tersusun disokong kemudahan dan aspek keselamatan yang baik berpotensi memperkukuh sektor pelancongan serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat. – TVS

15 minutes ago
4








English (US) ·