ADVERTISE HERE
KUCHING:, 19 Sept: Pelepasan benih ikan siakap di Muara Tebas menjadi antara usaha menyokong kelestarian sumber perikanan, selain meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem perairan.
Pelepasan benih itu disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Demak Laut, Datuk Dr. Hazland Abang Haji Hipni, sempena Majlis Penutupan Pertandingan Memancing anjuran KRT Kampung Muara Tebas di Jeti Muara Tebas, di sini.
Dalam pada itu, Dr. Hazland berkata, penganjuran pertandingan memancing yang julung kali diadakan di Muara Tebas berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
“Penganjuran pertandingan seperti ini berpotensi menarik lebih ramai pengunjung, merancakkan aktiviti ekonomi serta memberi manfaat dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) atas sokongan serta bantuan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Pelepasan benih ikan siakap itu turut mencerminkan kerjasama JPLS dengan komuniti nelayan dan penduduk setempat dalam usaha memperkaya sumber perikanan serta memelihara kelestarian ekosistem perairan.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada komuniti untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga sumber perikanan yang menjadi antara aset penting kepada kehidupan dan sosioekonomi penduduk setempat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing sebagai penghargaan atas penyertaan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan.
Turut hadir Pengarah Kanan JPLS, Abdul Rahman Abdul Wahab; Ketua Kampung Muara Tebas, Sudin Rasit; Pegawai Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Hamdi Omar; Pengerusi KRT Muara Tebas; Ketua Kampung Selabat serta pegawai dan kakitangan JPLS.

55 minutes ago
5








English (US) ·