Pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus institusi pendidikan swasta tidak jejas agenda Bumiputera

22 hours ago 1
ADVERTISE HERE

SUBANG JAYA, 26 Sept: Pemansuhan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus bagi institusi pendidikan swasta tidak menjejaskan usaha kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaan serta tindakan susulan berhubung perkara itu tertakluk kepada kementerian berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, agenda memperkasa Bumiputera perlu dilihat dalam skop lebih luas dengan memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan golongan itu untuk berkembang dan mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi.

“Saya juga telah terangkan dari segi bagaimana mengupayakan Bumiputera ini melalui agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“Apa-apa kaedah pengupayaan ini tidak boleh dilihat untuk mengecilkan peluang ekonomi ataupun dilihat daripada sudut yang memberi kesan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026, di sini, hari ini.

Akmal berkata, usaha memperkasa Bumiputera perlu dilaksanakan menerusi pendekatan yang meningkatkan keupayaan golongan itu untuk terus berkembang serta menceburi sektor ekonomi.

“Kita melihat bahawa pengupayaan itu perlu dilihat daripada sudut yang positif untuk menambahkan lagi keupayaan untuk terus berkembang dan mencebur diri daripada konteks ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Ekonomi memberi tumpuan kepada pendekatan makro menerusi PuTERA35 bagi meningkatkan keupayaan Bumiputera, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dijana secara bersama.

“Saya lihat lebih kepada konteks makro Kementerian Ekonomi, bagaimana melalui PuTERA35 dapat meningkatkan keupayaan Bumiputera supaya pertumbuhan ekonomi itu dapat dijana bersama, bukan dari sudut yang tidak produktif atau sebagainya,” katanya.
-TVS

Read Entire Article