Pembangunan seimbang jadi fokus di DUN Tellian

4 hours ago 5
ADVERTISE HERE

MUKAH, 1 Okt: Keluasan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian yang merangkumi kawasan bandar dan pedalaman menjadi antara cabaran utama dalam memastikan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan secara seimbang.

ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, keluasan kira-kira 1,227 kilometer persegi memerlukan perancangan pembangunan lebih tersusun bagi memastikan keperluan rakyat di setiap kawasan diberi perhatian.

Menurutnya, DUN Tellian bukan sahaja merangkumi pusat pentadbiran Bahagian Mukah, malah meliputi kawasan luar bandar termasuk Ulu Batang Oya dan Ulu Batang Mukah.

“Dari sudut keluasan kawasan ini adalah cabaran utama bagi saya. Tetapi cabaran ini saya serap sebagai motivasi untuk saya berkhidmat di kawasan ini agar saya dapat memenuhi segala keperluan rakyat di seluruh kawasan.

“Dari sudut infrastruktur asas, kita masih lagi memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan, iaitu jaringan jalan raya, elektrik dan bekalan air. Dalam tempoh lima tahun pertama saya sebagai wakil rakyat, beberapa projek telah diluluskan, ada yang sedang dalam pelaksanaan dan tidak dinafikan ada juga yang mengalami masalah,” katanya ketika ditemui di Studio Mini TVS, hari ini.

Mengulas keutamaan pembangunan bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, Royston berkata, keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman perlu terus diberi perhatian.

Katanya, kawasan bandar masih berdepan cabaran capaian telekomunikasi, khususnya ketika agenda pendigitalan semakin penting dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Telekomunikasi itu sangat memberikan banyak kesan kepada rakyat apabila ketika ini kita memang mengutamakan digitalisasi, apabila banyak perkara memerlukan jaringan telekomunikasi yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air terus menjadi keutamaan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam pada itu, Royston menjelaskan, suara rakyat termasuk golongan muda perlu menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan di DUN Tellian.

Menurutnya, pandangan dan aduan masyarakat diterima menerusi pelbagai saluran termasuk pertemuan bersemuka, surat, media sosial dan lawatan turun padang.

Katanya, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan sesuatu isu dikenal pasti berdasarkan keadaan sebenar sebelum tindakan susulan diambil.

“Dari sudut kecanggihan teknologi ini, kita harus gunakan dengan baik supaya aduan dan maklumat yang disampaikan oleh sesuatu pihak dapat kita atasi dengan baik.

“Saya sendiri mewujudkan kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan ketua jabatan serta penduduk setempat yang diwakili ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk menyampaikan maklumat dengan lebih mudah dan pantas.

“Sekiranya ada isu yang boleh diselesaikan dengan segera melalui kerjasama dalam kumpulan tersebut, kita akan cuba selesaikannya dengan kadar segera,” jelasnya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat menggunakan saluran aduan yang betul bagi memastikan setiap isu dapat disampaikan kepada pihak berkaitan secara lebih teratur dan pantas.

Katanya, pendekatan itu membolehkan isu yang boleh diselesaikan segera ditangani melalui kerjasama antara jabatan dan agensi berkaitan tanpa menunggu masalah menjadi lebih besar.

Justeru, cabaran keluasan DUN Tellian bukan sekadar berkaitan jarak dan geografi, sebaliknya turut menuntut perancangan pembangunan tersusun, komunikasi berkesan serta kerjasama berterusan antara wakil rakyat, kerajaan, jabatan dan masyarakat bagi memastikan keperluan penduduk di kawasan bandar dan pedalaman terus diberi perhatian.-TVS

Read Entire Article