ADVERTISE HERE
LUNDU, 27 Sept: Masyarakat di Lundu perlu meningkatkan kemahiran dan kesiapsiagaan bagi merebut peluang ekonomi yang terhasil daripada perkembangan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembangunan pelancongan tidak akan memberi manfaat sepenuhnya kepada komuniti setempat sekiranya masyarakat tidak bersedia untuk mengambil peluang yang tersedia.
Kata Nancy, masyarakat perlu diberikan latihan, kesedaran dan ilmu bersesuaian bagi membolehkan mereka terlibat sebagai pengusaha serta tenaga kerja mahir dalam sektor pelancongan.
“Kita tidak mahu apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan, masyarakat sendiri belum bersedia. Maka dengan itu, dengan enam teras tadi, kita cuba untuk mencapai semua pihak dalam masyarakat di dalam kawasan kita supaya mereka bersedia dari segi infrastruktur, dari segi sosioekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 di sini, hari ini.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, antara peluang yang boleh dimanfaatkan masyarakat tempatan termasuk bidang penginapan, penyediaan makanan dan perkhidmatan penjagaan.
Menurut beliau, pembangunan penginapan baharu di kawasan berkenaan menunjukkan potensi pelancongan yang semakin berkembang dan perlu disokong dengan penyertaan komuniti setempat.
“Apabila penduduk yang berada di sini, mereka perlu diberi kursus-kursus yang tertentu, diberi kesedaran yang tertentu, diberi ilmu yang tertentu supaya mereka dapat memenuhi peluang pembangunan pelancongan itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nancy turut menjelaskan pembangunan sosioekonomi masyarakat merupakan antara enam teras yang diberi perhatian dalam perancangan pembangunan di Parlimen Santubong.
Enam teras berkenaan merangkumi pembangunan infrastruktur, kapasiti dan modal insan, sosioekonomi, komuniti dan kesejahteraan rakyat, belia, sukan dan kesukarelawanan serta kerohanian dan nilai.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pembangunan kawasan turut membawa manfaat kepada masyarakat tempatan.
Nancy turut menggalakkan masyarakat khususnya golongan wanita dan anak muda untuk memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk menjana pendapatan serta menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak ekonomi setempat. -TVS

7 hours ago
5








English (US) ·