Penduduk Rumah Awit kini nikmati bekalan elektrik 24 jam

5 hours ago 13
ADVERTISE HERE

JULAU, 1 Okt: Penduduk Rumah Awit, Nanga Mujok di sini kini menarik nafas lega apabila penempatan membabitkan 29 isi rumah itu menerima bekalan elektrik 24 jam menerusi sambungan ke grid Sarawak Energy Berhad (SEB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, perkara itu dimaklumkan pihak SEB Sarikei minggu lalu dan menjadi perkembangan positif bagi penduduk luar bandar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Rumah Awit merupakan antara penempatan yang mendapat manfaat menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Fasa Capaian Terakhir bagi Kluster Ulu Kanowit, Julau.

“Pada Ogos lalu, Rumah Japok di Tatai Engkuman, Nanga Mujok yang mempunyai 14 isi rumah turut menerima bekalan elektrik 24 jam menerusi projek sama.

“Perkembangan ini membuktikan usaha memperluaskan jaringan bekalan elektrik ke kawasan DUN Mekuan terus diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Rolland berharap pemasangan meter bagi Kluster Nanga Ensiring dapat dipercepatkan kerana projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 161 isi rumah di beberapa rumah panjang.

Pada masa yang sama, beliau turut memantau perkembangan projek RES dari Nanga Meluan ke Ulu Mujok yang masih berdepan kelewatan, khususnya membabitkan kerja penyambungan servis line.

“Saya dimaklumkan proses tender semula perlu dilakukan berikutan beberapa perkara yang memerlukan penilaian serta penyelarasan sebelum kerja berkenaan dapat diteruskan,” jelasnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada SEB, khususnya SEB Sarikei dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) atas usaha berterusan memperluaskan kemudahan elektrik, selain berharap projek yang masih belum siap dapat dipercepatkan demi manfaat penduduk luar bandar di kawasannya. – TVS

Read Entire Article