ADVERTISE HERE
KUCHING, 9 Julai: Ujian Penilaian Program Dwibahasa (DLP) Sarawak tidak melibatkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah.
Jelas beliau, program DLP yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri bermula tahun 2025 akan melibatkan pelajar Tahun Enam di seluruh Sarawak.
Namun katanya, sebarang pendekatan yang bakal dilaksanakan oleh kementerian hanya akan diumumkan setelah perbincangan dengan menteri kabinet negeri pada waktu yang ditetapkan kelak.
“Saya belum boleh mendedahkan mekanisme pelaksanaannya sehingga ujian Penilaian Tahun Enam diumumkan secara rasmi kelak.
“Apa-apa perancangan serta pelaksanaan juga tidak akan membabitkan DUN Sarawak,” katanya.
Sagah berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Teknologi Lestari Lanjutan (ASTECH) 2024 di Kuching hari ini.
Tambah beliau, DLP yang diwujudkan sejak tahun 2020 itu adalah untuk melihat pencapaian sebenar pelajar Tahun Enam.
Katanya, ia sebagai penilaian sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah khususnya pemilihan untuk memasuki sekolah berasrama penuh.
Penilaian serupa turut terpakai bagi pelajar tingkatan tiga yang bakal mengikuti sesi persekolahan pada tahun 2028. — DayakDaily