Penulisan sejarah Sarawak perlu berlandaskan sumber sahih

6 hours ago 10
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Usaha menulis semula sejarah Sarawak perlu berlandaskan sumber yang sahih bagi melengkapkan catatan sedia ada tanpa mengubah fakta sejarah.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penelitian semula terhadap sejarah perlu dilakukan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira pelbagai sumber serta pengalaman masyarakat tempatan.

“Menulis semula sejarah Sarawak bukan maksud menukar fakta sesuka hati. Maksudnya adalah melengkapkan kekurangan, membetulkan kesilapan, meluaskan sudut pandangan, membaca sumber luar secara kritis serta mengangkat sumber tempatan dan suara masyarakat Sarawak sendiri dalam naratif sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Syarahan Negarawan (MSN) 2026 di Wisma Melayu Sarawak, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi berkata, masyarakat juga perlu bersikap kritis terhadap penulisan sejarah dari luar termasuk kajian Barat, Eropah dan Orientalis serta catatan berkaitan pemerintahan Brooke.

Jelasnya, bahan berkenaan tidak semestinya ditolak, namun perlu diteliti dan dibandingkan dengan sumber lain bagi mendapatkan gambaran sejarah yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai pelbagai bahan sejarah yang boleh dijadikan sumber penelitian termasuk artifak, dokumen, kajian akademik serta bahan yang tersimpan di muzium, galeri, arkib dan koleksi individu.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya usaha pendigitalan dan penerbitan sumber sejarah Sarawak dipergiatkan bagi memastikan bahan berkenaan dapat diakses serta dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Marilah kita sendiri menulis, membaca, mengajar sejarah Sarawak dengan penuh amanah. Jangan biarkan sejarah kita menjadi kecil dan ditulis secara asing.

“Jangan biarkan suara masyarakat kita hilang dalam catatan yang tidak lengkap. Jangan biarkan generasi muda mewarisi negeri yang maju tetapi tidak mengenal akal,” katanya.-TVS

Read Entire Article