Perubahan global anjak visi Sarawak lebih berdaya saing

5 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 1 Okt: Sarawak perlu menjangka perubahan global dan bergerak lebih awal dalam meneroka peluang baharu bagi memastikan negeri itu terus berdaya saing dalam ekonomi masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepimpinan negeri perlu memahami perkembangan global, perubahan teknologi serta kelebihan yang dimiliki Sarawak sebelum menentukan hala tuju pembangunan.

Menurut beliau, pendekatan menunggu perkembangan berlaku terlebih dahulu boleh menyebabkan Sarawak ketinggalan dalam bidang yang mempunyai potensi besar.

“Kita akan sentiasa ketinggalan jika menunggu orang lain terlebih dahulu, dan kita tidak boleh memimpin dengan cara begitu,” kata beliau hari ini.

Katanya, pendekatan tersebut antara lain membolehkan Sarawak bergerak lebih awal dalam bidang tenaga hidrogen, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi dan teknologi masa depan.

Beliau berkata, visi pembangunan negeri juga perlu diterjemahkan kepada keputusan, pelaburan, pembangunan keupayaan dan tindakan bagi memastikan agenda transformasi dapat dilaksanakan.

“Visi menunjukkan ke mana kita mahu pergi, tetapi visi sahaja tidak mencukupi. Sesuatu visi hanya akan menjadi bermakna apabila ia diterjemahkan kepada keputusan, pelaburan, keupayaan dan tindakan,” kata beliau lagi.

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai pelbagai kelebihan termasuk tenaga hidro, gas asli, biojisim dan potensi solar, selain sumber asli, tanah, biodiversiti, kedudukan strategik, keupayaan kewangan serta sumber manusia.

Bagaimanapun, katanya, kelebihan tersebut perlu disokong dengan keupayaan, disiplin dan kesediaan untuk bertindak bagi mewujudkan nilai jangka panjang.

Dalam membuat keputusan, katanya, kerajaan turut mendapatkan pandangan pakar dalam bidang sains, ekonomi dan teknologi serta menilai risiko dan potensi sesuatu bidang.

Abang Johari berkata, transformasi Sarawak turut memerlukan penglibatan syarikat, universiti, institusi dan individu, selain kerajaan.

Menurut beliau, negeri ini memerlukan lebih ramai jurutera, saintis, penyelidik, pakar data, pembangun teknologi, pakar tenaga, usahawan serta golongan profesional bagi menyokong agenda transformasi.

Sehubungan itu, tegas Abang Johari pelaburan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan perlu berjalan seiring dengan usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat hari ini bukan sahaja menentukan hala tuju Sarawak menjelang 2030, malah turut memberi kesan kepada pembangunan negeri pada 2040 dan 2050.

Beliau menyeru semua pihak supaya membuat persediaan lebih awal dan berani meneroka peluang yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sarawak. – TVS

Read Entire Article