Pesta Limbang pacu potensi ekonomi utara Sarawak

49 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

LIMBANG, 19 Sept: Pesta Limbang 2026 menjadi platform untuk memperkukuh potensi Limbang sebagai pusat pelancongan, perdagangan dan pelaburan di utara Sarawak, khususnya dalam konteks kerjasama rentas sempadan BIMP-EAGA.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kedudukan strategik Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam dan Indonesia serta berdekatan Sabah dan Labuan memberi kelebihan kepada kawasan itu untuk berkembang sebagai pusat ekonomi dan pelancongan.

Katanya, Pesta Limbang turut berperanan memperkenalkan keunikan daerah berkenaan kepada pengunjung dari seluruh Borneo, selain membuka peluang kepada pemain industri dan usahawan tempatan memperluaskan jaringan perniagaan serta meneroka pasaran baharu.

“Pesta Limbang ialah satu platform untuk kita mempromosikan Limbang ini sebagai salah satu daripada pusat tarikan pelancong. Ianya adalah satu daripada pusat untuk mengembangkan perdagangan dan pelaburan.

“Kita melihat bahawa kedudukan Limbang ini begitu strategik sekali. Kita bersempadan dengan negara Brunei Darussalam dan dengan negara jiran kita, Indonesia. Lebih-lebih lagi Kalimantan Utara, Kalimantan Timur, di mana terletak Nusantara, ibu negara baharu Indonesia, kita juga berjiran dengan Sabah dan Labuan dan kedudukan kita begitu strategik kalau kita lihat dari kawasan yang lebih luas, kawasan BIMP-EAGA,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Kedua berkata selain menjadi platform mempromosikan kebudayaan, makanan dan produk tempatan, pesta itu membuka ruang kepada pemain industri serta usahawan tempatan untuk memperluaskan jaringan perniagaan dan meneroka peluang pasaran baharu.

Menurutnya lagi, pelan pembangunan Limbang dan Lawas terus diperkukuh melalui penyediaan pelan tempatan bagi mengenal pasti serta mengoptimumkan potensi sumber dan kedudukan strategik kedua-dua kawasan berkenaan.

Katanya perancangan itu turut mengambil kira pelaksanaan projek infrastruktur utama termasuk Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan Lebuhraya Trans-Borneo, selain usaha meningkatkan kemudahan bekalan elektrik, air serta sistem telekomunikasi.

Menurut beliau, perancangan pembangunan bandar yang lebih tersusun penting bagi memastikan potensi yang dimiliki Limbang dan Lawas dapat dibangunkan secara optimum.

Sehubungan itu, jelasnya perunding telah dilantik bagi menyediakan pelan tempatan untuk Limbang dan Lawas bersama Agensi Pembangunan Wilayah Utara(NRDA).

Pelan ini katanya akan menjadi garis panduan bagi mengukuhkan kerjasama dan saling melengkapi berdasarkan kekuatan yang ada di bahagian ini dengan Brunei Darussalam, Kalimantan Indonesia, Sabah, Labuan dan keseluruhan kawasan, lebih-lebih lagi di bawah BIMP-EAGA. -TVS

Read Entire Article