Petinju Sarawak cuba Korea Selatan sebagai persiapan Sukma

9 months ago 122
ADVERTISE HERE
Rahman (berdiri tengah) bersama petinju negeri dan Pasukan Boryeong City Hall. Foto: Ukas

KUCHING, 24 Jan: Skuad tinju Sarawak hari ini mengadakan perlawanan persahabatan ‘sparring’ bersama kelab tinju Korea Selatan, Pasukan Boryeong City Hall.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (Saba) Dato Rahman Lariwoo berkata, aksi pemanas badan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) itu diadakan di Pusat Latihan Tinju Negeri Sarawak di Stadium Sarawak.

“Seramai enam petinju dari kelab tersebut mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan.

“Perlawanan ini diharapkan dapat menambahkan lagi semangat petinju-petinju kita dalam mengharungi Sukma akan datang,” katanya semasa ditemui media sebelum perlawanan itu bermula.

Tambah Rahman, kedatangan pasukan Boryeong City Hall yang mewakili Persatuan Tinju Negeri Chung Nam itu adalah untuk mempromosi kelab itu di Malaysia dengan memilih Sarawak sebagai lokasi jelajahnya yang pertama di negara ini.

Dalam pada itu, Rahman memberitahu, senarai lengkap atlet tinju yang akan membawa cabaran Sarawak pada Sukma Ke-21 akan didedahkan pada 14 Februari depan.

Katanya, senarai bakal membariskan seramai 12 atlet lelaki dan empat atlet wanita.

Mengenai latihan pendedahan di luar negara, Rahman berkata pihaknya merancang untuk membawa atlet menjalani latihan pendedahan di Indonesia, Thailand dan Filipina sebelum Sukma bermula.

“Perancangan kita seterusnya kita akan membawa atlet-atlet petinju kita menjalani latihan pendedahan di Pontianak, Indonesia, Selatan Thailand dan Filipina sebelum bermulanya temasya sukan Sukma,” ujar beliau lagi. — DayakDaily

Read Entire Article