ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Politik Malaysia perlu kembali kepada pendekatan yang rasional, sederhana dan inklusif bagi memastikan kestabilan serta kebersamaan masyarakat terus dipelihara.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu penting dalam mengambil kira realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada masyarakat berbeza kaum dan agama, termasuk hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita boleh memperkukuh sesuatu komuniti tanpa melemahkan komuniti yang lain. Kita boleh mempertahankan identiti masing-masing tanpa merendahkan identiti orang lain,” katanya.
Menurut Menteri Kerja Raya itu lagi penyatuan masyarakat perlu mengambil kira kepelbagaian tanpa menyebabkan mana-mana komuniti berasa tersisih atau terancam.
Katanya, pengalaman Sarawak yang berteraskan toleransi, saling menghormati dan keterangkuman menunjukkan kekuatan politik tidak semestinya diterjemahkan melalui penguasaan, sebaliknya boleh dibina menerusi perkongsian, keyakinan dan keterangkuman.
Nanta turut merujuk kepada penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konsep “wa’ad nasional” yang menurutnya mengingatkan semua pihak terhadap janji dan tanggungjawab bersama dalam pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan semata-mata urusan Sabah dan Sarawak, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional yang perlu difahami dan dipikul bersama.
“Perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada demokrasi. Tetapi perbezaan tidak seharusnya membawa kita kepada politik kebencian yang akhirnya merugikan rakyat dan negara,” tegasnya.
Nanta turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada kepimpinan negara dan Sarawak untuk memberi tumpuan kepada kestabilan, pembangunan serta pengukuhan ekonomi demi kepentingan rakyat. -TVS

3 hours ago
8








English (US) ·