ADVERTISE HERE
SRI AMAN, 13 Sept: Projek menaik taraf ruai Rumah Panjang John Chendang, Sengkuang Ili, Undop, yang dibiayai menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 berjumlah RM200,000 berjaya disiapkan.
Projek berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie semalam, sekali gus memberi kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk rumah panjang berkenaan.
Doris menzahirkan rasa syukur kerana projek itu dapat disempurnakan demi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat rumah panjang.
Dalam ucapannya, beliau menyeru rakyat terus bersatu dan memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai visi, perancangan serta hala tuju jelas dalam menjamin masa depan Sarawak dari aspek ekonomi dan sosial.
Beliau turut menekankan pentingnya semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat rumah panjang, khususnya bagi memastikan hubungan antara penghuni terus terpelihara.
“Terdapat kira-kira 870 rumah panjang di kawasan Parlimen Sri Aman, namun semakin kurang rumah panjang yang mempunyai jumlah pintu yang besar seperti dahulu.
“Perselisihan dan perpecahan antara penghuni rumah menjadi antara faktor yang menyebabkan rumah panjang berpecah. Ini amat menyedihkan dan menyayat hati,” katanya.
Doris turut berkata ekonomi Sarawak terus berkembang di bawah pentadbiran GPS, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak pada 2025 mencecah RM153.5 bilion, mencatat pertumbuhan 3.6 peratus.
Beliau turut menyentuh Sarawak Sovereign Wealth Future Fund yang bermula dengan RM8 bilion pada 2024 dan kini meningkat kepada RM8.6 bilion sebagai simpanan jangka panjang untuk generasi akan datang.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·