ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 19 Ogos: Dengan pungutan 24 emas setakat jam 12 tengahari ini, Sarawak kekal di kedudukan teratas dan di landasan tepat bagi mencapai sasaran juara keseluruhan.
Menurut Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pencapaian emas setakat ini adalah mengikut perancangan kontinjen Sarawak.
“Dalam sukan muay thai, lima atlit Sarawak berjaya ke acara akhir dan ia berpotensi besar bertukar menjadi emas.
“Kita juga menaruh harapan besar kepada acara tinju untuk menghadiahkan pingat emas,” kata Abdul Karim ketika ditemui semasa menyaksikan acara akhir kriket di antara Sarawak dan Kelantan di sini, hari ini.
Lebih mengejutkan tambah Abdul Karim ialah kejayaan skuad taekwando Sarawak yang mencipta 11 emas.
Katanya, sasaran acara taekwando hanya 7 emas dan ia satu perkembangan baik.
“Bagi kriket ini adalah kali pertama Sarawak ke perlawanan akhir.
“Ini adalah satu sejarah bagi Sarawak dalam sukan kriket ini,” katanya. — DayakDaily