Pusat konvensyen mini bakal dibina di Betong

16 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

BETONG, 26 Sept: Betong bakal memiliki sebuah pusat konvensyen mini bagi menyediakan kemudahan lebih lengkap untuk penganjuran forum, persidangan serta program pembangunan ilmu di bahagian itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meluluskan cadangan pembinaan kemudahan berkenaan selepas perkara itu dikemukakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, ketika ini antara kemudahan yang digunakan bagi penganjuran program berskala besar di Betong ialah Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

“Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa di sini tidak mempunyai tempat yang sesuai, cuma ada Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan namun kurang sesuai digunakan untuk mengadakan forum.

“Jadi beliau meminta sebuah Pusat Konvensyen Mini dan saya luluskan untuk kita membangunkan kemudahan itu seperti yang ada di Lawas,” katanya.

Abang Johari berkata, penyediaan kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat menyokong penganjuran pelbagai program di Betong, malah menjadi platform bagi memperluaskan perkongsian ilmu khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Dengan kemudahan seperti ini, kita dapat melonjakkan ilmu anak-anak muda,” ujarnya.

Pembinaan pusat konvensyen mini itu sekali gus dijangka menambah kemudahan awam di Betong serta memperkukuh keupayaan bahagian berkenaan menjadi lokasi penganjuran forum, persidangan dan program berskala lebih besar pada masa hadapan. – TVS

Read Entire Article