ADVERTISE HERE
LUNDU, 27 Sept: Cadangan pembinaan pusat penjaja dan marina di sekitar kawasan Jambatan Rambungan diharap dapat meningkatkan peluang ekonomi serta tarikan pelancongan di Zon Sampadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kemudahan itu boleh menjadi projek pelengkap kepada pembangunan Jambatan Rambungan.
Menurutnya, cadangan berkenaan penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Besar jugalah harapan saya mewakili komuniti di Zon Sampadi supaya satu pusat penjaja dan juga marina dapat dibina di sekitar kawasan jambatan tersebut sebagai satu projek selingan yang dapat meningkatkan peluang ekonomi dan juga tarikan pelancongan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 di sini, hari ini.
Azizul berkata, pembangunan di Lundu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan kerajaan, komuniti, sektor swasta, usahawan dan golongan belia.
Katanya, pembangunan yang dirancang juga perlu memberi ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan, teknologi dan ekonomi digital.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Jambatan Rambungan sebagai antara projek penting yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek tersebut yang sebelum ini dibatalkan kerajaan persekutuan kini diteruskan oleh kerajaan Sarawak dan dijadualkan siap pada suku keempat 2027. -TVS

7 hours ago
6








English (US) ·