ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November bakal menyaksikan acara kemuncak Regata Sarawak pada 30 Oktober hingga 1 November.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemuncak acara itu ialah perebutan Piala Raja Sungai yang dijadualkan berlangsung pada 1 November.
Menurutnya, acara berkenaan bakal disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, edisi tahun ini menampilkan 18 acara perlumbaan yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu tempatan dan terbuka dengan masing-masing menawarkan sembilan acara.
“Sebanyak 18 lorong akan disediakan untuk perlumbaan perahu bidar, manakala 10 lorong bagi perlumbaan perahu kenyalang.
“Dua acara baharu yang diperkenalkan pada 2025 melibatkan jarak 300 meter, iaitu Perahu Kenyalang 10 Pekayuh Lelaki (Tempatan) bagi Kakitangan Agensi/Jabatan dan Perahu Kenyalang 10 Pekayuh Wanita (Tempatan) bagi Kakitangan Agensi/Jabatan, dikekalkan untuk dipertandingkan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Jawatankuasa Induk Sarawak Regatta dan Penyerahan Cek Cura Penaja di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim menegaskan penggunaan jaket keselamatan adalah wajib bagi semua peserta perlumbaan, termasuk petugas dan urus setia keselamatan yang terlibat.
Katanya, pengurus pasukan turut bertanggungjawab memastikan arahan berkenaan dipatuhi demi keselamatan semua pihak.
“Lembaga Sungai-Sungai Sarawak boleh membatalkan penyertaan sekiranya terdapat pasukan yang gagal mematuhi peraturan pemakaian jaket keselamatan,” ujarnya.
Pemenang Raja Sungai bagi Kategori Tempatan akan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM30,000, manakala jumlah keseluruhan hadiah bagi Sarawak Regatta 2026 bernilai RM378,400 termasuk piala dan wang tunai.
Bagi Kategori Tempatan, sembilan acara yang dipertandingkan ialah Perahu Bidar 10 Pekayuh Campuran (lapan lelaki, dua wanita), Perahu Bidar 15 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Raja Sungai – Piala TYT), Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Antara Bahagian), Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (Kementerian/Agensi/GLC/Swasta), Perahu Kenyalang 10 Pekayuh Lelaki (Kakitangan Jabatan/Agensi) dan Perahu Kenyalang 10 Pekayuh Wanita (Kakitangan Jabatan/Agensi).
Sementara itu, Kategori Terbuka turut menampilkan sembilan acara, iaitu Perahu Bidar 15 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Piala Antarabangsa Borneo), Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (VIP), Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Campuran (15 lelaki, lima wanita), Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (IPTA/IPTS), Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Campuran (15 lelaki, lima wanita) IPTA/IPTS dan Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki Marathon Antarabangsa 3KM.
Secara keseluruhan, Sarawak Regatta 2026 menampilkan 43 acara perlumbaan, merangkumi 25 acara saringan dan 18 acara pertandingan akhir.
Borang penyertaan telah dibuka mulai 1 September 2026 menerusi laman sesawang Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, manakala pendaftaran penyertaan dibuka pada 1 Oktober dan ditutup pada 15 Oktober 2026, jam 12 tengah hari.
Taklimat pengurus pasukan dan cabutan undi lorong perlumbaan pula dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober 2026, jam 9 pagi di Cultural Heritage Innovation Centre, Sarawak Multimedia Authority.-TVS

1 hour ago
8








English (US) ·