ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Sebanyak 19 projek pembangunan melibatkan siling peruntukan RM49 juta disenaraikan bagi kawasan DUN Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pertapakan yang berlangsung di Bilik Jawatankuasa 2, Aras 3, Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam.
Menurutnya, mesyuarat itu dipengerusikan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) bagi membincangkan status pertapakan dan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan DUN Kabong.
“Daripada 19 projek berkenaan, 16 projek dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala tiga lagi di bawah Majlis Daerah Saratok (MDS), daripada keseluruhan 49 projek yang melibatkan lapan kawasan DUN.
“Antara projek utama yang disenaraikan ialah pembinaan dan naik taraf fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, Pusat Penjaja di Pantai Gerigat, Anjung Selera dan Homestay Persatuan Nelayan Kawasan Kabong serta Pejabat Operasi Unit Saudara Kita Nyabor,” katanya.
Turut disenaraikan ialah pembinaan Terminal Bot di Sungai Endot dan Kampung Emplam, Jeti Nelayan Kampung Gerigat, Dewan Masyarakat Kampung Nyabor serta RC Ramp di Kampung Hilir Laut.
Selain itu, beberapa dewan masyarakat kampung dan rumah panjang di kawasan Kabong serta Ulu Roban turut termasuk dalam senarai pembangunan, antaranya di Kampung Alit, Kampung Gerigat, Kampung Emplam dan Kampung Sessage.
Bagaimanapun, status pelaksanaan projek masih berbeza apabila sebahagiannya berada pada peringkat ‘Belum Mohon’, manakala beberapa projek lain termasuk di Pantai Tanjung Kembang, Jeti Nelayan Kampung Gerigat dan RC Ramp Kampung Hilir Laut masih ‘Menunggu Kelulusan’.
Mohd Chee berharap isu berkaitan pertapakan yang dibangkitkan agensi pelaksana dapat disegerakan dan diselaraskan bersama pihak berkaitan bagi memastikan proses pelaksanaan projek pembangunan di DUN Kabong berjalan lancar.
Beliau turut memberi perhatian terhadap status setiap projek supaya perancangan pembangunan yang telah disenaraikan dapat diteruskan mengikut proses dan ketetapan ditetapkan. -TVS

3 hours ago
9








English (US) ·