ADVERTISE HERE
ISKANDAR PUTERI, 29 Sept : Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menambah bilangan Mahkamah Bergerak di Sabah dan Sarawak bagi memastikan perkhidmatan kehakiman dapat diperluas kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Hakim Negara, Ketua Pendaftar Mahkamah serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, keluasan kawasan di kedua-dua negeri berkenaan menyebabkan kemudahan mahkamah sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat, terutama penduduk yang tinggal jauh dari pusat bandar.
“Di Sabah dan Sarawak, kita mahu memberi fokus kepada Mahkamah Bergerak kerana kawasannya sangat besar dan sebuah mahkamah tidak mencukupi.
Jadi, memang terdapat keperluan besar untuk menambah Mahkamah Bergerak di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks Mahkamah Baharu Johor Bahru, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Mahkamah Bergerak memainkan peranan penting dalam mendekatkan perkhidmatan kehakiman kepada masyarakat di kawasan yang sukar mendapatkan akses ke kompleks mahkamah.
Operasi Mahkamah Bergerak dilaksanakan menerusi dua kaedah, termasuk mengadakan persidangan mahkamah di lokasi yang sesuai mengikut keperluan setempat.
Ujarnya lagi, pendekatan berkenaan amat penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kehakiman.
Justeru katanya, usaha menambah bilangan Mahkamah Bergerak itu juga akan terus diberi perhatian melalui perbincangan antara pihak kehakiman dan kementerian bagi memenuhi keperluan masyarakat di kedua-dua negeri berkenaan.- TVS

1 hour ago
3








English (US) ·