ADVERTISE HERE
LUNDU, 27 Sept: Sampadi disasar dibangunkan sebagai sebuah ‘Smart Pekan’ dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi perancangan pembangunan yang mengambil kira keperluan kemudahan moden dan teknologi maklumat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan tersebut turut mengambil kira potensi pembangunan di kawasan Trombol yang menempatkan kampus i-CATS.
Menurutnya, pembangunan institusi pendidikan tinggi itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan sekitarnya, termasuk Sampadi.
“Dalam masa lima tahun akan datang, kita akan membuat perancangan organik (organic planning) supaya ia menjadi satu tarikan dan juga tempat program penempatan semula (resettlement program) dengan kemudahan terkini, sudah dapat menjadi ‘Smart Pekan’ dengan kemudahan-kemudahan terkini termasuklah IT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026, di sini hari ini.
Abang Johari menambah, kedudukan Sampadi yang berhampiran Trombol memberi kelebihan kepada kawasan berkenaan untuk menerima limpahan pembangunan susulan kewujudan kampus universiti tersebut.
Jelas beliau, pengalaman pembangunan di kawasan lain menunjukkan kewujudan institusi pengajian tinggi mampu mengubah corak pembangunan kawasan sekitarnya.
“Kalau kita bangunkan kawasan Trombol di mana kita mempunyai kampus universiti yang menjadi nadi kita mendapatkan ilmu aeroangkasa dan juga ilmu-ilmu teknikal, ia akan menjadi satu kekuatan untuk membangunkan kawasan di sekitarnya termasuklah Sampadi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, menurut Abang Johari, pembangunan Jambatan Rambungan turut menjadi antara faktor penting yang akan meningkatkan hubungan Sampadi dengan kawasan sekitarnya.
Kata Abang Johari, pembangunan infrastruktur dan kemudahan moden perlu bergerak seiring bagi memastikan pertumbuhan kawasan dapat memberi impak kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, perancangan pembangunan Sampadi adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan kawasan Tanjong Datu secara lebih menyeluruh. -TVS

9 hours ago
7








English (US) ·