ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Sarawak mahu melahirkan generasi masa depan yang memiliki pengetahuan, nilai serta kemahiran untuk menangani cabaran alam sekitar dan kelestarian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendidikan alam sekitar berkualiti perlu diperkasakan bagi menyemai kesedaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Generasi masa depan perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran yang diperlukan untuk menangani cabaran alam sekitar serta kelestarian.
“Ini termasuk menggalakkan kesedaran alam sekitar sepanjang hayat menerusi pendidikan alam sekitar yang berkualiti,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 di sini, hari ini.
EEC 2026 bakal berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober 2026 di Hotel Imperial di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual akan merasmikannya.
Awang Tengah berkata, usaha tersebut memerlukan pengiktirafan terhadap peranan bersama kerajaan, pertubuhan, agensi, sekolah, komuniti dan pemimpin muda dalam memacu agenda penjagaan alam sekitar.
“Golongan muda khususnya perlu dibimbing sebagai peneraju yang mampu memperkukuh amalan pengurusan alam sekitar secara bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya. -TVS

1 day ago
11








English (US) ·