ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 15 Jun: Sarawak berharap acara bowling Sukan Sea 2027 diadakan di Kuching, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Pada tahun 2027, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA.
“Sarawak berharap dapat menganjurkan acara, dan salah satunya adalah bowling.
“Saya ingin menyaksikan Kuching dipilih sebagai penganjur acara bowling,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian di majlis penyampaian hadiah Kejohanan Tenpin Bowling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 di Megalanes Sarawak di Batu Kawah, hari ini.
Tambah beliau, pada tahun hadapan Sarawak akan memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Katanya, ia akan membolehkan Sarawak menganjur acara peringkat antarabangsa dengan penerbangan terus ke Kuching.
“Kita juga boleh membawa acara lain ke Sarawak, dan ini sekaligus merancakkan pelancongan di negeri ini,” kata Abdul Karim.
Kejohanan Tenpin Bowling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 disertai lebih 600 pemain termasuk dari Oman, Jepun, Korea dan Singapura.
Ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM162,000. — DayakDaily