ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Okt: Sarawak akan memperkenalkan 2 peraturan baharu dalam sistem pemantauan alam sekitar, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, pertama adalah melibatkan proses audit yang dijalankan oleh syarikat dan peraturan kedua berhubung pelepasan api di loji-loji minyak dan gas.
“Peraturan pertama adalah berhubung proses audit, kadang-kadang syarikat membuat tuntutan tetapi mungkin proses tidak efektif.
“Kita akan perkenalkan apa yang dipanggil akreditasi kelayakan dan pendaftaran oleh juru audit luar.
“Saya sudah setuju dengan peraturan ini supaya kita boleh mengesahkan dan menjelaskan proses yang digunakan supaya alam sekitar kita selamat,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2024 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Manakala bagi peraturan kedua jelas beliau, ia adalah berhubung kaedah pemantauan aktiviti minyak dan gas.
Katanya, loji minyak dan gas hendaklah dipantau kerana ada melepaskan api.
“Kalau api ini terlebih lepas, alam sekitar kita panas dan mungkin boleh mengakibatkan berlakunya letupan.
“Kita mesti mengawalnya di satu peringkat, kalau terlampau panas, nanti orang Bintulu kepanasan.
“Aktiviti ini mesti dipantau oleh kontroler NREB, dia akan mengeluarkan lesen,” kata Abang Johari. — DayakDaily