ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Sarawak sedang meneroka peluang kerjasama dengan syarikat Jepun, HighChem, dan Indorama Ventures bagi memperluas aktiviti hiliran berasaskan gas termasuk potensi menghasilkan bahan untuk industri pakaian serta produk petrokimia lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi Sarawak untuk beralih daripada sekadar mengeksport sumber mentah kepada pembangunan industri hiliran yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kekuatan dari segi sumber dan asas industri yang boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan sektor baharu selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Saya berkongsi mengenai apa yang harus Sarawak bangunkan melalui kekuatan yang ada pada Sarawak. Keduanya, mungkin ada industri baharu yang dapat diwujudkan hasil daripada teknologi terkini.
“Umpamanya, kita boleh membangunkan gas kita termasuk untuk menghasilkan bahan bagi industri pakaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama sempena Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE): From Vision to Reality in Sarawak’s Transformation Journey, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, antara teknologi yang sedang diteroka melibatkan HighChem menerusi kerjasama dengan syarikat Sakura dan Indorama.
Menurutnya, pihak terlibat kini merancang menempatkan operasi syarikat berkenaan di Bintulu dengan anggaran pelaburan sekitar AS$1 bilion.
“Mereka sekarang mahu menempatkan operasi syarikat itu di Bintulu dengan jumlah pelaburan AS$1 bilion. Ini merupakan satu industri baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan Sarawak mempunyai sumber dan kelebihan yang boleh ditransformasikan kepada industri baharu serta lebih maju.
“Sebab itu saya rasa Sarawak mempunyai kekuatan dan juga ramuan untuk kita transformasikan kepada industri-industri yang maju dan baharu. Itu penekanan saya,” jelasnya.
Terdahulu, Abang Johari berkata, gas asli yang dimiliki Sarawak boleh dimanfaatkan untuk membangunkan pelbagai industri berasaskan gas termasuk sektor petrokimia dan metanol.
Katanya, pembangunan industri hiliran bukan sahaja mampu meningkatkan nilai ekonomi sumber asli Sarawak, malah membuka lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
“Ini sesuatu yang baharu, dan saya berharap rakyat kita dapat dilatih untuk mengambil bahagian dalam industri petrokimia ini, yang turut menawarkan gaji agak tinggi,” katanya.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur dan rangkaian saluran paip turut penting bagi menyokong pertumbuhan industri berasaskan gas di Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan Sarawak mengikuti perkembangan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan daya saing industri.
Menurutnya, meskipun kos penerapan teknologi mungkin tinggi pada peringkat awal, kos berkenaan dijangka menurun apabila teknologi terus berkembang dan digunakan secara lebih meluas.
“Walaupun pada awalnya kos agak tinggi, ia akan menurun disebabkan oleh perkembangan teknologi,” ujarnya.
Katanya, pembangunan industri hiliran juga perlu berjalan seiring dengan pembangunan bakat tempatan supaya rakyat Sarawak mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk mengambil bahagian dalam sektor baharu berkenaan.
Langkah itu selaras dengan usaha Sarawak memperluas aktiviti hiliran, meningkatkan nilai sumber tempatan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi di wilayah ini. – TVS

5 hours ago
6








English (US) ·