ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan pembukaan pejabat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, bagi memperkukuh hubungan ekonomi dengan rantau berkenaan, khususnya dalam sektor tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan itu antara usaha memperluas jaringan perdagangan dan pelaburan Sarawak ke pasaran antarabangsa.
“Ini masih pada peringkat perancangan. Kita bercadang dengan pihak Abu Dhabi supaya hubungan dapat dipererat dan pada masa sama menguruskan cadangan projek yang akan dilaksanakan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2026 (SCOPE) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata cadangan berkenaan berkait rapat dengan kerjasama yang sedang diterokai antara Sarawak dan Abu Dhabi, termasuk dalam sektor tenaga solar serta industri gas.
Katanya, pejabat itu dicadangkan untuk diuruskan secara bersama oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi menyelaras projek kerjasama sekiranya ia direalisasikan.
Menurut beliau, kerjasama itu membabitkan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, manakala projek yang dicadangkan ketika ini masih melalui kajian kebolehlaksanaan.
“Kita menunggu pelaksanaan projek yang ada di Sarawak. Saya rasa ia masih dalam kajian kebolehlaksanaan. Jurutera mereka juga sudah beberapa kali datang dan saya jangka mungkin dalam tempoh setahun atau lebih,” katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Abang Johari berkata Sarawak perlu memperluas pasaran di peringkat antarabangsa, selaras dengan perkembangan ekonomi digital yang membolehkan syarikat tempatan mengakses pasaran tanpa terlalu terikat dengan faktor geografi.
Beliau berkata, Sarawak juga terus memperkukuh kehadiran perdagangan dan pelaburan di luar negara melalui Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan Brunei (STATOB), selain merancang pembukaan pejabat di Pontianak, Kalimantan Barat.
Katanya, jaringan berkenaan penting bagi memperluas hubungan Sarawak dengan pasaran serantau, khususnya ASEAN, selain membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan.
“Dalam ekonomi digital, pasaran anda tidak lagi terhad oleh faktor geografi seperti sebelum ini. Sarawak juga terus memperkukuh kehadiran perdagangan dan pelaburan luar, termasuk melalui pejabat di Singapura dan Brunei serta rancangan membuka pejabat di Pontianak bagi memperdalam hubungan Sarawak dengan pasaran serantau,” katanya.
Menurutnya, Sarawak tidak seharusnya hanya melihat pasaran domestik, sebaliknya perlu memanfaatkan kedudukannya di Borneo dan ASEAN untuk menembusi pasaran serantau serta global.
Katanya, peluang boleh diteroka dalam sektor tenaga, perdagangan, pelancongan, logistik, teknologi, pengeluaran makanan, perkhidmatan profesional dan ekonomi digital.

5 hours ago
13








English (US) ·