ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak menyasarkan cip yang direka oleh anak tempatan dan difabrikasi di wilayah ini untuk digunakan dalam teknologi angkasa termasuk satelit orbit bumi rendah (LEO) serta pembangunan mesin bagi misi ke Marikh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspirasi itu selari dengan usaha Sarawak membangunkan teknologi dan cip sendiri sebagai sebahagian daripada langkah menguasai rantaian nilai industri semikonduktor.
Menurutnya, Sarawak kini sedang membangunkan satelit sendiri yang disasarkan untuk dilancarkan ke orbit bumi rendah menjelang 2030, selain meneroka penggunaan cip tempatan dalam teknologi angkasa yang lebih canggih.
“Sarawak kini sedang membangunkan satelit sendiri yang disasarkan untuk dilancarkan ke orbit rendah bumi menjelang 2030, selain meneroka penggunaan cip tempatan dalam teknologi angkasa yang lebih canggih.
“Impian kita hari ini adalah untuk mempunyai reka bentuk cip sendiri yang dicipta oleh anak Sarawak tetapi digunakan oleh dunia.
“Saya yakin anda boleh merealisasikan impian itu, bahawa satu hari nanti kita mempunyai satelit di Low Earth Orbit menggunakan cip Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Semiconductor Flagship Programme di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), di sini, hari ini.
Abang Johari turut mendedahkan Sarawak sedang membangunkan cip untuk digunakan dalam sebuah mesin berteknologi tinggi yang dirancang bagi misi ke Marikh.
Menurutnya, cip berkenaan akan direka oleh bakat tempatan dan difabrikasi di Sarawak menerusi pendekatan industri rendah karbon.
“Cip itu akan memecahkan cahaya dan sebahagian daripada cahaya itu akan menjadi sumber tenaga dalam kapal angkasa,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi berkenaan turut melibatkan pasukan kejuruteraan yang disasarkan berkembang kepada 500 jurutera berbanding kira-kira 40 orang ketika ini.
Tambahnya, aspirasi berkenaan mencerminkan perubahan hala tuju Sarawak daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada negeri yang mampu mereka bentuk, memiliki dan menghasilkan teknologi sendiri.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) amat penting bagi menyokong sektor strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju, tenaga boleh baharu, elektronik kuasa, aeroangkasa dan teknologi satelit.-TVS

48 minutes ago
4







English (US) ·