Sarawak sasar pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050

2 hours ago 7
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Sarawak menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menerusi pembangunan ekonomi hijau yang menyeluruh.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata sektor berkenaan merangkumi tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan serta ekonomi kitaran.

Jelas beliau, sasaran itu bukan sekadar aspirasi berkaitan alam sekitar, sebaliknya turut menjadi sebahagian daripada aspirasi ekonomi wilayah berkenaan.

“Kami sedang memajukan ekonomi hijau menerusi tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih, ekonomi hidrogen, pengangkutan mampan, pendigitalan, ekonomi kitaran serta pembangunan bakat hijau.

“Kami juga telah menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 sempena MyASEAN Roads & Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon dan berteraskan teknologi membuka peluang kepada kemunculan industri, pelaburan, perniagaan dan profesion baharu.

Menurutnya, Sarawak memerlukan keupayaan teknikal termasuk jurutera, ahli teknologi, juruteknik, saintis, penyelidik, inovator dan usahawan bagi menterjemahkan agenda kelestarian daripada dasar kepada pelaksanaan.

Hazland berkata profesional teknikal bukan sekadar mengambil bahagian dalam peralihan ke arah kelestarian, malah menjadi penggerak pelaksanaannya, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi dan keperluan ekonomi masa depan.

“Hubungan antara institusi pendidikan dengan industri perlu diperkukuh, selain golongan muda perlu didedahkan kepada teknologi serta profesion baharu bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan kekal relevan.

“HPTN mempunyai misi penting untuk meraikan profesional hari ini, sambil membangunkan profesional untuk masa depan,” katanya.

HPTN 2026 menghimpunkan 10 sektor teknikal utama dan dijangka merangkumi kira-kira 238 reruai pameran, 1,500 peserta pameran serta 5,000 pengunjung menerusi enam program persidangan utama, selain membuka ruang kepada pemain industri untuk meneroka kerjasama, pasaran baharu dan peluang pelaburan.-TVS

Read Entire Article