ADVERTISE HERE
BETONG, 25 Sept: Program Sarawakku Sayang (SKS) menjadi platform penting bagi masyarakat setempat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara terus daripada pelbagai agensi kerajaan terlibat.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, beliau bersyukur program berkenaan dapat diteruskan selepas ditangguhkan kira-kira dua minggu sebelum ini susulan keadaan jerebu dan cuaca tidak mengizinkan.
Menurutnya, penganjuran SKS kali ini memberi peluang kepada masyarakat di Bahagian Betong mendapatkan pelbagai maklumat serta mengemukakan pertanyaan kepada agensi kerajaan yang dihimpunkan dalam satu program.
“Program ini merupakan satu ruang dan platform untuk rakyat kerana semua agensi kerajaan dihimpunkan dalam satu program.
“Jadi, saya menyeru rakyat di Bahagian Betong supaya mengambil peluang ini untuk hadir beramai-ramai mendapatkan maklumat dan mengemukakan pertanyaan kepada agensi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program SKS Betong hari ini.
Dalam pada itu, Richard menjelaskan, orang ramai yang kurang sihat atau sensitif terhadap keadaan jerebu dinasihatkan menggunakan pelitup muka ketika berada di kawasan program.
SKS edisi Betong yang berlangsung selama tiga hari itu disasarkan menarik lebih 100,000 pengjung sepanjang tiga hari program dari 25 hingga 27 September di Kompleks Sukan Betong.
Selain pelbagai pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.
Kemuncak program ialah cabutan hadiah utama sebuah kereta Perodua Bezzar.
Richard turut menggalakkan orang ramai hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan pelbagai aktiviti dan tarikan yang disediakan sepanjang program termasuk menikmati sajian makanan tempatan menerusi segmen Betong Kitchen. – TVS

7 hours ago
7








English (US) ·