ADVERTISE HERE
JOHOR BAHRU, 26 Sept: Tourism Malaysia Wilayah Selatan (TMWS) bekerjasama dengan jenama kopi tempatan, Kopi Rakyat menerusi kempen “Secawan Kopi, Sejuta Destinasi” bagi mempergiat promosi pelancongan domestik.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Maizatul Liza Mukhtar berkata, kempen yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober itu mengetengahkan pelbagai tawaran pakej pelancongan domestik kepada pelanggan Kopi Rakyat di seluruh negara.
Menurutnya, sebanyak 20 pakej dengan diskaun antara 30 hingga 50 peratus ditawarkan hasil kerjasama 10 agensi pelancongan, hotel, resort dan pengusaha produk pelancongan.
engarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Maizatul Liza Mukhtar. Foto TVS“Kerjasama ini memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan pelbagai tawaran pakej pelancongan, selain memperluas capaian promosi destinasi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen “Secawan Kopi, Sejuta Destinasi – TMWS X Kopi Rakyat” di Paradigm Mall Johor Bahru, di sini, hari ini.
Maizatul Liza berkata, promosi itu turut dipermudah menerusi kod QR pada cawan edisi khas Kopi Rakyat yang membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat tawaran, promosi serta membuat tempahan terus dengan pengendali pelancongan terbabit.
Katanya, pelanggan yang membeli pakej pelancongan bernilai RM1,500 dan ke atas dalam satu resit pula berpeluang menerima hadiah eksklusif Tourism Malaysia dan Kopi Rakyat, khusus untuk 100 pelanggan pertama.
“Sebanyak 30,000 ‘coffee sleeve’ edisi khas akan digunakan sebagai medium promosi, selain aktiviti ‘meet & greet’ bersama maskot Wira dan Manja, kuiz pelancongan, cabutan bertuah serta edaran bahan promosi,” katanya.
Kempen berkenaan menyasarkan jualan 20,000 minuman Kopi Rakyat yang menampilkan kod QR pakej pelancongan, selain kira-kira 1,000 pakej pelancongan terjual dengan nilai keseluruhan RM250,000.
Inisiatif itu menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dalam memperluas promosi destinasi tempatan, di samping merancakkan aktiviti ekonomi menerusi peningkatan pelancongan domestik. -TVS

18 hours ago
5







English (US) ·