ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Sejarah menjadi asas penting dalam memahami pembentukan sesebuah negara, selain membina identiti serta perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemahaman terhadap sejarah penting bagi membolehkan masyarakat mengenali kisah serta perjalanan pembentukan sesebuah bangsa, negeri dan negara.
“Sejarah amat dekat dengan kehidupan seharian kita. Dengan sejarah kita boleh mengenali siapa kita sebagai sebuah masyarakat, satu bangsa, suatu negeri dan negara.
“Sejarah tidak harus berhenti sebagai ingatan dan cerita masa silam semata-mata. Sejarah ialah ilmu tamadun sesebuah bangsa yang sudah semestinya diteliti menerusi sumber kaedah penelitian dan tafsiran yang bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Syarahan Negarawan (MSN) 2026 di Wisma Melayu Sarawak, hari ini.
Justeru, Tun Wan Junaidi menegaskan kepentingan masyarakat, khususnya generasi muda mendalami sejarah melalui penelitian sumber dan kajian yang bertanggungjawab supaya pemahaman mengenai identiti serta perjalanan bangsa tidak bergantung kepada satu-satu tafsiran sahaja.
Menurut beliau, penulisan Barat, Eropah dan Orientalis termasuk catatan berkaitan pemerintahan Brooke perlu diteliti secara kritis dan tidak diterima bulat-bulat sebagai gambaran tunggal mengenai sejarah Sarawak.
Tegasnya, perkara itu penting khususnya dalam memahami sejarah Sarawak yang mempunyai perjalanan tersendiri dalam pembentukan identiti masyarakat dan negara.
“Adakah kita mahu generasi kita ini dan generasi yang akan datang terus meraba-raba dalam gelap untuk mencari makna siapa kita? Atau kita bersedia menerima bulat-bulat tafsiran dan penulisan Eropah, Barat dan biografi Brooke untuk mengetahui siapa kita di Sarawak?
“Ini sebenarnya sejarah boleh mencerminkan perjalanan kita sebagai satu bangsa, sebagai individu dan sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.-TVS

6 hours ago
7








English (US) ·