ADVERTISE HERE
BETONG, 25 Sept: Kerajaan Sarawak diharap mempertimbangkan cadangan menubuhkan sekolah latihan juruterbang di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong sebagai sebahagian usaha mewujudkan sektor ekonomi baharu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dengan CENTEXS yang melihat Betong mempunyai persekitaran kondusif untuk menjalankan latihan penerbangan.
“Saya telah berbincang dengan CENTEXS. Esok saya akan mengemukakan permohonan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menubuhkan ‘pilot school’ supaya kita di Betong dapat melahirkan juruterbang dan juga kru.
“Saya dimaklumkan keadaan di sini sangat sesuai. CENTEXS telah datang dan melihat sendiri keadaan yang cukup kondusif untuk latihan kerana tidak banyak pergerakan kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa Program Sarawakku Sayang di Betong, hari ini.
Uggah berkata, pembangunan sektor penerbangan di Betong juga berpotensi diperluaskan kepada aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) pada masa hadapan.
Katanya, pembangunan itu bukan sekadar menyediakan kemudahan untuk pergerakan barangan, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi Betong.
“Bukan hanya membawa barang, tetapi membawa peluang baharu. Sebab itulah saya katakan ia merupakan antara perubahan terbesar yang akan mencorak langkah baharu untuk ekonomi orang Betong,” ujarnya.
Menurut Uggah, ekonomi Betong selama ini banyak bergantung kepada sektor tradisional termasuk pertanian dengan penduduk mengusahakan tanaman seperti kelapa sawit dan lada.
Sehubungan itu menurutnya, kewujudan sektor ekonomi baharu penting bagi menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi, sekali gus membantu mengekalkan golongan muda untuk terus tinggal dan membina kerjaya di Betong.
“Walaupun kita ada rakyat yang kuat bekerja seperti menanam sawit dan lada tetapi itu tidak mencukupi untuk mereka kekal tinggal di Betong. Kita mahu mereka yang muda-muda ini di Betong kerana kita juga akan ada pusat perindustrian nanti,” jelasnya.
Tambahnya, pembangunan kawasan perindustrian di Betong dijangka melengkapi ekosistem ekonomi berkenaan.
Dalam pada itu, Uggah berharap sekolah latihan juruterbang berkenaan dapat diwujudkan di Betong kerana kesannya bukan sahaja tertumpu kepada industri penerbangan.
Katanya, kehadiran pelatih dan tenaga kerja akan meningkatkan permintaan terhadap penginapan, makanan serta pelbagai perkhidmatan lain, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Kalau ada pilot school, mereka juga perlu makan, perlu tempat tinggal dan memerlukan beberapa kemudahan lain. Limpahan daripada sektor itu akan membawa banyak peluang.
“Penduduk boleh menternak lebih banyak ayam dan lembu serta menyediakan makanan. Ekonomi juga dapat dipelbagaikan apabila jumlah pengguna dan pembeli bertambah,” katanya.
Sementara itu, Uggah berkata, proses berkaitan pensijilan kemudahan yang berkaitan kini bergantung kepada badan pensijilan yang sedang membuat penilaian terhadap kemudahan tersedia.
Beliau berharap proses tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan produk dari Betong dipasarkan dengan lebih meluas termasuk ke luar negara.
Antara produk yang mempunyai potensi ialah agar-agar serta lada hitam dan lada putih yang banyak dihasilkan di kawasan Betong.
Menurutnya, pembangunan kemudahan serta jaringan logistik yang lebih baik akan membolehkan hasil tempatan menembusi pasaran lebih luas, sekali gus melengkapkan usaha mempelbagaikan ekonomi Betong.-TVS

47 minutes ago
6








English (US) ·